Akauntan Ditipu Sindiket Kerja Sambilan Di Facebook


BINTULU - Seorang akauntan wanita berusia 21 tahun di sini, ditipu sindiket tawaran kerja separuh masa menerusi Facebook, selepas gagal melunaskan komisen diperoleh seperti dijanjikan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkifli Suhaili, berkata kejadian berlaku selepas mangsa terlihat iklan tawaran pekerjaan secara sambilan sebagai ejen jualan produk menerusi Facebook pada 21 November lalu.

Beliau berkata, mangsa yang juga akauntan sebuah syarikat di sini, tertarik dengan pulangan komisen 15 peratus daripada nilai setiap harga produk diniagakan itu lalu berurusan dengan seorang wanita dipercayai pengendali laman sosial terbabit.

"Mangsa kemudian bersetuju melakukan tugas diarahkan. Selepas jualan pertama, mangsa mendapat pulangan komisen dijanjikan, namun 10 urusan perniagaan seterusnya, mangsa hanya membayar duit jualan ke akaun diarahkan, namun tidak dibayar komisen dijanjikan," katanya.

Zulkifli berkata, mangsa yang berasa ditipu kemudian menagih pulangan dijanjikan, namun sindiket terbabit memaklumkan mangsa harus melakukan tugas lain bagi menebus modal dan komisen ditawarkan.

Susulan itu, katanya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Bintulu.

Sumber: BH Online