TANJONG KARANG - Polis menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Terap, dekat sini, semalam.
Difahamkan, semua warga asing berusia 23 tahun hingga 43 tahun itu baru masuk ke negara ini dengan menaiki bot dari Batu Bara dan Tanjung Balai, Indonesia.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed, berkata perkara itu dikesan selepas pihaknya melihat sebuah kereta mencurigakan di sebuah stesen minyak di Batu 8, di sini, kira-kira jam 4 pagi.
"Hasil pemeriksaan berjaya menahan dua lelaki warga asing dipercayai tekong darat dan tiga lelaki warga asing yang berada di dalam kereta. Mereka berusia 34 hingga 37 tahun.
"Mereka didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan memasuki Malaysia menerusi laluan laut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki tekong bagi membantu siasatan.
"Kita merampas dua kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM3,439. Nilai rampasan berjumlah RM 52,274.
"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Tanjong Karang untuk tindakan lanjut," katanya.
Rizal berkata, kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.
"Semua PATI yang ditahan dipercayai membayar wang sebanyak RM1,000 hingga RM1,700 untuk menyusup masuk ke negara ini.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk ke atas tekong yang ditahan," katanya.
Sumber: BH Online