Beri Tender Pasang Khemah Kepada Ahli Keluarga Satu Kesalahan


KUALA LUMPUR - Pentadbir persatuan dan badan sukan negara diingatkan untuk tidak memberikan tender atau projek kepada kroni mahupun ahli keluarga mereka dalam setiap program atau kejohanan sukan yang dianjurkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata setiap pentadbir badan sukan terikat sebagai badan awam dan setiap tindakan atau dana yang digunakan tidak boleh memberi faedah kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Katanya, sekecil-kecil tender pemasangan khemah dalam kejohanan sukan, jika diberikan kepada ahli keluarga adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009.

"Dalam kes membabitkan badan sukan negara kita melihat kepada tadbir urus yang dilakukan mereka sekiranya mereka menyalahguna pelantikan dana yang diberikan kepada badan itu.

"Mereka tidak boleh menggunakan kelebihan yang ada dalam badan itu sesuka hati atau untuk faedah di sendiri.

"Perolehan pembelian perlu dilakukan dan faedah membabitkan diri sendiri perlu dielakkan. Sebagai contoh jika menganjurkan sukan, tender pembekalan seperti pemasangan khemah di lokasi penganjuran tidak boleh diberikan kepada ahli keluarga," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Beliau sebelum itu berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Badan Sukan Kebangsaan, 2021.

Sumber: Berita Harian Online