DAP Umum 18 Calon, 8 Lagi Umum Kemudian Strategi Parti


KUCHING - DAP Sarawak hari ini mengumumkan 18 daripada 26 calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, 18 Disember depan.

Senarai itu diumumkan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen di ibu pejabat parti itu di Padungan, di sini.

Chieng Jen berkata, lapan lagi kawasan yang akan ditandingi akan diumumkan kemudian dengan enam daripadanya di Kuching dan dua lagi di Sibu.

"Alasan mengapa saya tidak mengumumkan senarai enam calon di Kuching sekarang kerana ia adalah strategi parti.

"Kami menunggu Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengesahkan calon mereka di Pending, Padungan, Kota Sentosa, Batu Kawa, Batu Kitang dan Stakan. Barulah kami umumkan calon (DAP)," katanya.

Daripada enam kawasan itu, kerusi Pending disandang oleh Violet Yong daripada DAP dan Chieng Jen di Kota Sentosa.

DUN Padungan pula disandang Wong Kin Wei (Bebas) yang sebelum ini bertindak keluar daripada DAP pada 26 Julai tahun lalu.

Mengenai dua lagi kawasan di Sibu yang belum diumumkan iaitu Dudong dan Bawang Assan, Chieng Jen berkata, pihaknya masih dalam rundingan untuk bekerjasama dengan pembangkang tempatan iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ketika ini, dua kerusi itu disandang PSB menerusi Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh di Bawang Assan dan Datuk Tiong Thai King di Dudong.

"Kami masih belum mencapai kata sepakat dengan PSB berhubung dua kerusi itu dan rundingan masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, dalam senarai calon yang diumumkan hari ini, dua penyandang dikekalkan iaitu Irene Mary Chang Oi Ling yang akan mempertahankan kerusi Bukit Assek dan David Wong Kee Woan di Pelawan.

Seorang lagi penyandang bagi kerusi Tanjung Batu iaitu Chiew Chin Sing tidak disenaraikan kerana mengambil keputusan untuk berundur daripada politik.

Tempat Ching Sing akan digantikan anaknya, Tony Chiew bagi mewakili DAP sebagai calon di kerusi itu.

Calon lain yang diumumkan, Granda Aing bagi kerusi Tasik Biru, Chang Hong Siong (Mambong), Laerry Jabong (Kedup), Brolin Nicholsion Benedict Achung (Bukit Semuja), Leon Jimat Donald (Simanggang) dan Philip Wong Pak Min (Repok).

Turut disenaraikan, Yong Siew Wei (Meradong), Solomon Kumbong (Pelagus), Joseph Jingut (Bukit Goram), Kenneth Lagong (Baleh), John Bryan (Kemena), Tonny Ung (Samalaju), Peter Hee Leh Keng (Piasau), Alan Ling Sie Kiong (Pujut) dan Marcus Hugo (Senadin).

Sumber: BH Online