PETALING JAYA - Diskaun sebanyak 10% hingga 15% ke atas bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bawah Bajet 2022 dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi.
Madeline Berma, seorang profesor kehormat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, diskaun pinjaman PTPTN itu sangat bermanfaat kerana ia akan meningkatkan pendapatan boleh guna belia, yang kemudiannya boleh digunakan untuk belian barangan runcit, insurans, sewa, pengangkutan, utiliti, pendidikan bahkan untuk bersantai.
“Memandangkan jumlah belia yang ramai, perbelanjaan mereka akan membantu menjana pertumbuhan ekonomi.
“Ia akan mengurangkan hutang dan pinjaman mereka di samping menggalakkan dan memberi insentif kepada belia untuk membayar balik pinjaman PTPTN,” katanya.
Berma menambah langkah itu juga akan membolehkan PTPTN memberikan lebih banyak pinjaman. Katanya, wang yang terhutang kepada dana pendidikan itu hampir sama jumlahnya dengan kerugian yang ditanggung dalam skandal 1MDB.
Selain diskaun PTPTN, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) juga akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan muda.
Menerusi BKM, wang tunai RM350 akan diberi kepada golongan bujang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.
Yeah memberitahu FMT, inisiatif itu penting susulan pandemik yang berlaku kerana terdapat masalah multidimensi dan kompleks yang dihadapi belia hari ini.
Yeoh memberitahu FMT, inisiatif itu penting ketika pandemik, ekoran masalah pelbagai dimensi dan rumit yang dihadapi belia ketika ini.
“Lebih penting, setiap inisiatif perlu dinilai secara berterusan keberkesanannya supaya bantuan kepada golongan yang terjejas dapat diperluaskan,” katanya.
Ketika mengumumkan bajet kerajaan persekutuan sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata rebat antara 10% hingga 15% akan diberikan kepada peminjam PTPTN dari 1 Nov hingga 30 April.
Ini termasuk diskaun 15% ke atas baki tertunggak untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 12% untuk pembayaran balik sekurang-kurangnya 50% daripada hutang tertunggak dan diskaun 10% untuk pembayaran balik melalui potongan gaji atau debit langsung.
Sumber: FMT