ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) Sawarak akan menggunakan modal "penggabungan UMNO dan PAS diperingkat Kerajaan Persekutuan" pada Pilihanraya Negeri (ORN) Sarawak kali ini.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terbuka menyokong UMNO dan PAS itu hanya akan membawa negara ke belakang dan tidak membawa kemajuan pada masa akan datang.
"Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara terbuka menyokong Umno dan PAS yang berada dalam kerajaan pusat. Kerajaan persekutuan Umno-PAS hanya akan membawa negara ke belakang. Tidak akan ada kemajuan.
“Kami berharap pilihan raya kali ini akan menyaksikan pengundi menghantar mesej yang jelas dengan menunjukkan mereka menolak GPS, PAS, dan Umno,” katanya yang dipetik dari Malaysiakini.
Justeru itu, Chong berkata platform kempen utama PH adalah untuk rakyat Sarawak menyuarakan bantahan terhadap kerajaan persekutuan UMNO dan PAS pada PRN Sarawak akan datang.
Difahamkan strategi politik PH sememangnya mahu melihat UMNO dan PAS terbelah dua, memecah-belahkan undi masyarakat Melayu Islam bagi memastikan laluan politik parti itu mencapai matlamat memerintah negara.
Chong turut menyatakan PH Sarawak memutuskan untuk tidak menggunakan logo sama untuk pilihan raya negeri pada 18 Disember ini.
“Kita akan bertanding guna bendera masing-masing.
"Amanah akan guna bendera Amanah, DAP guna roket dan PKR (bendera) mata biru,” katanya.
Beberapa pemimpin DAP baru-baru ini menyalahkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim atas kekalahan PH di PRN Melaka dan menuntut beliau meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Turut difahamkan pemimpin PKR dan DAP sedang bercakaran secara terbuka di media, kesan keputusan PRN Melaka yang tidak menyebelahi PH. - Kedahnews.com