SANDAKAN - Kelemahan jentera kempen Pakatan Harapan (PH), antara punca pakatan itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara berkenaan diakui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan berkata, kelemahan jentera kempen itu harus diperbaiki.
Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah turut menjadi faktor kekalahan PH kelmarin.
"Dari segi jentera, kita lemah dan itu adalah sesuatu yang harus kita perbaiki.
"Faktor yang penting ialah peratusan keluar undi kali ini sudah turun sebanyak 20 peratus daripada 85 peratus kepada 65 peratus.
"Perkara inipun mempengaruhi keputusan kerana sekiranya peratusan undi dapat ditingkatkan 15 hingga 20 peratus ia sudah cukup membolehkan kita menang," katanya pada sidang media dalam Konvensyen Biasa DAP Sabah, di sini, semalam.
Guan Eng berkata, persempadanan pilihan raya turut menjadi faktor kekalahan mereka.
"Persempadanan pilihan raya yang tidak adil memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) sungguhpun mereka hanya menang undi popular 38 peratus.
"Selain itu, larangan berceramah dan bertemu pengundi seperti kebiasaan turut menjadi faktor kekalahan PH," katanya.
Beliau berkata, pihaknya melihat empat kerusi dimenangi DAP sesuatu yang sangat ikonik.
"Jumlah majoriti kemenangan di empat kerusi berkenaan sangat besar dan kekalahan di empat kerusi yang ditandingi pula sangat rendah majoritinya.
"Sekurang-kurangnya 6,000 hingga 11,000 majoriti di empat kerusi yang kita menang.
"Empat kerusi yang kita kalah pula majoriti agak tipis iaitu di antara yang paling kecil 131 hingga 1,000 lebih," katanya.
PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka, kelmarin.
Prestasi PH dilihat jatuh merudum kerana pada pilihan raya sebelum ini PH memenangi 15 kerusi di negeri berkenaan.
Mengenai PRN Sarawak yang bakal berlangsung pula, Guang Eng berkata, ia pasti sesuatu yang mencabar kepada PH.
"Itupun akan jadi cabaran yang amat keraslah, kerana kalau kita lihat apa yang berlaku dekat Melaka tentu mereka akan berusaha untuk hadkan calon bersemuka dengan pemilih, dengan pengundi.
"Lagi teruk kerana banyak rumah panjang di kawasan pedalaman kita langsung tak dapat pergi dan capaian internet pun kurang. Saya rasa panjat pokok pun tak boleh dapat," katanya.
Sumber: Berita Harian Online