KUALA LUMPUR - Kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90 tanpa menjejaskan aspek kualiti peranti berkenaan.
Penurunan harga sebanyak 87.7 peratus sejak kit berkenaan pertama kali dijual di pasaran bagi kegunaan orang ramai disifatkan selari usaha kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika mengumumkan perkara itu berkata kit ujian kendiri COVID-19 sudah menjadi keperluan seisi rumah, memandangkan kadar penularan pandemik masih tinggi di Malaysia.
Susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, beliau mengakui bahawa keperluan untuk membuat ujian kendiri menjadi lebih mendesak serta perlu dilakukan dengan kerap.
"Kementerian sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan kit ini pada harga tinggi sebelum ini, justeru menerusi usaha bertali arus, kita berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri daripada RM39.90 kepada harga siling RM19.90, di peringkat runcit.
"Melalui perbincangan berterusan yang diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian.
"Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik supaya semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap dan antara strategi yang dilaksanakan adalah dengan memberikan kebenaran kepada lebih banyak premis seperti di pasar raya dan kedai rangkaian.
"Setakat ini, KPDNHEP sudah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang diberikan kebenaran oleh KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Alexander menyumbangkan 2,000 naskah akhbar BH kepada rangkaian pasar raya, 99 Speedmart untuk diedarkan kepada pengunjung dan pelanggan, sempena pembukaan cawangan kedai berkenaan yang ke-2,000 di Puncak Sentul, di sini.
Alexander berkata, keputusan memperluaskan penjualan kit ujian kendiri kepada rangkaian sektor peruncitan di negara ini menyaksikan harga peranti berkenaan berupaya diturunkan sehingga mencecah paras RM6.90 sebelum ini.
"Tetapi hari ini, saya amat gembira melihat inisiatif yang diambil oleh 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ini pada harga RM4.90 seunit.
"Kerjasama dari peniaga seperti ini amat kami hargai, bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes COVID-19 di Malaysia.
"Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat," katanya.
Sumber: BH Online