Harga Sayur Dijangka Stabil Hujung Tahun Ini - MAFI


MELAKA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan harga sayur, terutama yang diimport akan kembali stabil menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kenaikan harga yang berlaku kini disebabkan oleh beberapa faktor, namun ia kini berada dalam kawalan pihak terbabit.

Beliau berkata, MAFI bagaimanapun tidak mengesan berlaku kekurangan bekalan sama ada sayur import mahupun sayur tempatan.

"Kita mengesan kenaikan ini bermula Oktober lalu dan dijangkakan (harga) dapat distabilkan sehingga hujung tahun ini.

"Pada ketika ini kita dapati bahawa ada kenaikan di separuh tempat pemasaran tetapi secara keseluruhannya kenaikan ini sudah dapat dikawal khususnya sayur import seperti brokoli dan kubis bulat," katanya.

Malah disebabkan negara-negara pengeluar menghadapi pelbagai masalah selain daripada aspek penukaran wang asing mendorong terdapat kenaikan ,namun tetapi sayur-sayuran daripada tempatan didapati stabil.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Agroinvest MARDI 2021 yang turut dihadiri, Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Sementara itu, Ahmad berkata, dalam menangani situasi ini kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga sentiasa membuat pemantauan harga dan mengadakan perbincangan bersama KPDNHEP dalam memastikan harga terkawal serta bekalan mencukupi.

Beliau berkata, dalam tempoh ini rakyat disarankan memilih sayur tempatan berbanding sayur import kerana ia satu daripada matlamat utama dalam mempromosikan penggunaan barangan tempatan.

Ahmad berkata, apapun, dalam masa perlu menerima hakikat pelbagai perbagai isu dan kekangan terutama cuaca yang tidak menentu terutama hujan, yang tidak menentu dan keadaan musim monsun Timur laut pada ketika ini menyebabkan pengeluaran kita sedikit tergendala.

"Apabila hujan bukan sahaja ia menyebabkan terganggunya penuaian, malah meningkatkan kos pengeluaran kerana pihak pengusaha terpaksa berbelanja lebih terutamanya untuk menambah baik pembajaan, kos penjagaan, ubat-ubatan dan pengedaran sehingga menyebabkan kenaikan harga barang-barang," katanya.

Sumber: BH Online