"Harga Sayur Naik Berganda Disebabkan Cuaca, Musim Sejuk"


GEORGETOWN - Faktor cuaca termasuk hujan tidak menentu serta kerosakan tanaman petani di Cameron Highlands, menyebabkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.

Malah, bekalan sayur import turut berkurangan kerana negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata pihaknya sudah berhubung dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mendapatkan maklumat punca kenaikan harga.

Katanya, ia susulan aduan dan kenyataan yang dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai masalah berkenaan.

"Agensi terbabit memaklumkan, kenaikan kos pengangkutan kontena dari negara asal turut menyumbang kepada kenaikan harga sayur.

"Sehubungan itu, Seksyen Penguat Kuasa sudah menjalankan pemeriksaan dan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) ke atas pengimport dan pemborong sayur bagi mendapatkan maklumat harga sayur-sayuran untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara sayur-sayuran yang dilapor mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga daripada RM7 kepada RM16 sekilogram, sawi pendek RM3 kepada RM9, brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari RM8 kepada RM15 sekilogram, kubis RM4 kepada RM6, cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.

Sumber: BH Online