Hidangan Siakap Lebih RM1,000: Peniaga Bakal Didakwa - Rosol Wahid


KUALA TERENGGANU - Peniaga yang mengenakan harga lebih RM1,000 pada hidangan ikan siakap di sebuah restoran di Langkawi sehingga isu itu tular dalam media sosial, awal bulan ini, bakal didakwa mengikut Seksyen 53 (A) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia susulan pihak terbabit gagal mengemukakan dokumen perniagaan lengkap yang dikehendaki kementeriannya, dalam tempoh ditetapkan.

"Peniaga itu memberi kerjasama baik kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan lengkap dan terperinci, dalam tempoh diberikan.

"Tempoh penghantaran dokumen itu sudah dilanjutkan bagi membolehkan peniaga itu membetulkan kesilapan berkenaan.

"Bagaimanapun, ia masih tidak dapat dipenuhi hingga 17 November lalu. Justeru, kertas siasatan dibuka dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Lawatan Timbalan Menteri KPDNHEP di Kawasan Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu (MMT) di Kampung Peradong, Manir, di sini, semalam.

Rosol berkata, tindakan itu diambil berikutan kegagalan peniaga terbabit menyelenggara dan menyimpan rekod dengan wajar.

"Peniaga itu akan didakwa mengikut Seksyen 53(A) AKHAP 2011 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau kompaun RM25,000, jika sabit kesalahan.

"Siasatan lanjut atas kesalahan mencatut, tidak dapat dijalankan berikutan dokumen perniagaan yang dihantar peniaga itu tidak memberi maklumat terperinci berhubung kos operasinya.

"Peniaga itu hanya menyatakan harga jualan ikan siakap, iaitu RM16 bagi setiap 100 gram tidak pernah berubah sejak tiga tahun lalu. Namun, ia bukan bukti kukuh dan tidak mencukupi untuk siasatan dilakukan," katanya.

Beliau sekali gus menasihati golongan peniaga agar sentiasa menyimpan rekod perniagaan, termasuk resit pembelian dan proses, bagi memudahkan penyiasatan KPDNHEP sekiranya berlaku sebarang isu berbangkit.

Sumber: Berita Harian Online