SEREMBAN - Menghidap penyakit systemic lupus erythematosus (SLE) sehingga menjejaskan aktiviti sehariannya, tidak menghalang buat Nur Izzati Elya Alfian, 23, mengenggam segulung ijazah.
Hari ini dia bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam Dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-19 semalam.
Nur Izzati Elya yang berasal dari Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor itu memberitahu, dia menghidap penyakit itu sejak tahun lalu.
“Sejak saya menghidap penyakit SLE, saya sering mengalami serangan jantung, sakit kulit dan kaki. Saya juga terpaksa menggunakan kerusi roda dan terpaksa tinggal di wad selama beberapa hari kerana sukar bernafas dan mengalami lemah badan.
“Pada waktu itu, rakan sekuliah banyak bantu saya menghantar bahan bacaan melalui WhatsApp dan emel.
“Penulisan tesis saya juga hampir tidak dapat siapkan pada waktunya kerana jatuh sakit selama hampir tiga bulan. Alhamdullilah, walaupun berdepan kesukaran, saya berjaya graduasi pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini semalam.
Katanya lagi, dia telah mendapat rawatan di Hospital Putrajaya dan kesan penyakitnya itu juga semakin berkurangan.
“Saya boleh menjalani kehidupan seperti biasa namun perlu mengambil ubat bagi mengubati SLE ini seumur hidup saya.
“Ada beberapa yang saya tidak boleh lakukan seperti terdedah dengan terik matahari, angkat barangan berat dan mudah letih,” katanya yang sedang menjalani latihan di Akademi Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sementara itu, Nur Ezzati Elya pernah mendapat perhatian sebelum ini berhubung pandangannya tentang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Kumpulan LGBT in terbahagi kepada beberapa kumpulan iaitu kumpulan mahu berubah dan yang memang tidak mahu berubah langsung.
“Bagi saya untuk kumpulan pertama itu, kita tidak boleh tinggal mereka dan perlu membantu mereka keluar, ” katanya. -UTUSAN