Ibu Mualaf Cabar Keputusan Mahkamah Kekalkan Agama Asal 2 Anak


PETALING JAYA - Seorang wanita mualaf memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan agama asal dua anaknya.

Peguam Arham Rahimy Hariri yang mewakili wanita itu berkata, pihaknya telah memfailkan usul memohon izin daripada Mahkamah Persekutuan, semalam.

Katanya, pemohon yang identitinya tidak didedahkan itu memfailkan tiga soalan undang-undang termasuk berhubung Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan agama seseorang di bawah usia 18 tahun akan diputuskan ibu bapa atau penjaganya.

Pada 27 Oktober, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang bapa yang beragama Buddha membatalkan pengislaman anak-anaknya oleh ibu mereka.

Hakim Mohamad Zabidin Diah ketika itu berkata, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 bahawa pasangan dalam perkahwinan sivil yang telah memeluk Islam, tidak boleh mengislamkan anak mereka secara unilateral (sebelah pihak).

Dalam kes hari ini, bapa terlibat pada 2016 telah mencabar pengislaman dua anaknya secara unilateral. Beliau turut memohon deklarasi bahawa sijil pengislaman dua anaknya itu terbatal dan tidak sah, selain mereka telah diislamkan dengan cara menyalahi undang-undang.

Beliau mendakwa bekas isterinya itu mengislamkan anak-anaknya dengan tujuan mendapatkan hak penjagaan mereka.

Wanita terlibat memeluk Islam pada Disember 2015 ketika pasangan berkenaan sedang melalui perceraian. Beliau kemudian mengislamkan dua anaknya di pada Mei 2016.

Satu lagi panel Mahkamah Rayuan turut memberi hak penjagaan anak-anak itu kepada bapa mereka.

Sumber: FMT