Ibu Tunggal Rugi RM17,800 Ditipu Scammer


JEMPOL - Seorang ibu tunggal kerugian RM17,800 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata mangsa berusia 28 yang menjalankan perniagaan dalam talian pada awalnya melayari laman Facebook pada jam 10.30 pagi ketika berada di rumahnya Khamis lalu.

Katanya, mangsa kemudian terlihat iklan pinjaman peribadi dan mahu membuat pinjaman berjumlah RM10,000 sebelum menekan pautan yang diberikan.

"Selang beberapa minit mangsa menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan mangsa kemudian dimaklumkan perlu membayar RM1,000 bagi urusan pinjaman.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam akaun bank milik seorang lelaki.

"Mangsa kemudian diminta memasukkan RM2,000 bagi urusan insuran sebelum mangsa melakukan pembayaran ke dalam akaun bank atas nama lelaki lain dan sekali lagi diminta membuat pembayaran RM2,800 ke dalam akaun sama," katanya.

Chang Hook berkata pada jam 10.40 pagi semalam, mangsa yang tidak menyedari ditipu, sekali lagi diminta membayar RM4,000 selepas dimaklumkan sistem yang memproses pinjaman mempunyai masalah.

Katanya, suspek yang seronok selepas menyedari mangsa mudah ditipu sekali meminta membuat pembayaran dan mangsa melakukan dua kali pembayaran membabitkan jumlah RM8,000.

"Bagaimanapun permintaan suspek meminta bayaran RM5,000 bagi urusan cukai pendapatan tidak dilayan mangsa yang menyedari ditipu.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bahau dan polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber: BH Online