Inilah MB Kedah Yang Pertama...

 


“Oghang Kedah” zaman sekarang mungkin ramai yang kenal dan tahu siapa Menteri Besar Kedah yang pertama.

Namun begitu, mungkin ada yang hanya pernah dengar nama beliau saja, tapi tidak tahu tentang latar belakang tokoh pertama yang mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah ini.

Beliau pada awal kerjayanya pernah bertugas sebagai penterjemah di Pejabat Penasihat Inggeris Alor Setar sebelum mencebur diri dalam bidang pentadbiran kerajaan.

Sebelum diangkat menjadi Menteri Besar juga pernah berjawatan Kepala Pekerjaan Tanah yang difahamkan setaraf dengan jawatan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah ketika ini.

Sebelum dingkat sebagai Menteri Besar, al-marhum menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, antara jawatan tertinggi dalam perkhidmatan penjawat awam negeri (KCS).

Justeru, kita kongsikan sedikit sebanyak latar belakang Haji Mohamad Sheriff Osman, insan yang pernah berjasa kepada bumi jelapang padi ini.

Nama beliau turut diabadikan bersempena nama sebuah sekolah, Sekolah Kebangsaan Hj Mohamad Sheriff, yang terletak di Alor Setar dan wujud hingga kini.

Nama Penuh: Haji Mohamad Sheriff bin Osman

Tarikh Lahir: 5 Ogos 1890

Tempat Lahir: Seberang Sungai Raja, Alor Setar.

Pendidikan: Darjah 7, Penang Free School.

Kerjaya:

1. Penterjemah di Pejabat Penasihat Inggeris Alor Setar, 1907.

2. Penolong Setiausaha Majlis Negeri Kedah, 1901.

3. Kepala Pekerjaan Tanah, 1912.

4. Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri, 1915.

5. Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, 1931.

6. Menteri Besar Kedah, 1948 – 1954.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya yang cemerlang sebagai Menteri Besar Kedah, beliau telah dikurniakan beberapa anugerah antaranya ialah ‘Award of Kedah Long Service Medal’ oleh KDYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid, C.B.E dan C.M.G daripada Raja Inggeris di London dan ‘Kedah Order of Merit’ (K.O.M) oleh KDYMM Almarhum Sultan Badlishah.

Haji Mohamad Sheriff kembali ke rahmatullah pada 27 September 1962 sewaktu berusia 72 tahun dan disemadikan di Perkuburan Akar Peluru Alor Setar, Al-Fatihah... -Kedahnews.com