Jenazah Ibu Dan Anak Dikebumi Dalam Satu Liang


MACHANG - "Selepas waktu Subuh tadi, kami maklumkan kepada penggali kubur untuk menyediakan liang kedua kerana ada dua jenazah bakal dikebumikan."

Beberapa panggilan telefon tidak dijawab dan pergerakan menerusi 'live location' yang terhenti membuatkan keluarga seorang mangsa nahas jalan raya berasa ada yang tidak kena.

Nurul Asiah Yacob, 47, mengakui ahli keluarganya berasa tidak sedap hati apabila anak saudaranya, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, dan suaminya, Muhamad Nazirul Rameli, 23, gagal dihubungi awal pagi tadi.

Katanya, pasangan itu bertolak dari Johor jam 6 petang semalam selepas dimaklumkan ibu Nadia, Nurul Ainun Yacob, 45, meninggal dunia kira-kira jam 5.45 petang di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai akibat penyakit buah pinggang tahap empat.

"Setibanya di Gambang, Nadia memberitahu mereka singgah berehat di sebuah stesen minyak kerana berasa pening disebabkan alahan mengandung yang baru memasuki tiga minggu.

"Mereka menyambung perjalanan dan sepatutnya tiba lebih awal berbanding abangnya yang bergerak pada tengah malam.

"Kira-kira jam 4 pagi, 'live location' Nadia terhenti. Kami cuba menghubunginya tetapi gagal sebelum panggilan akhirnya dijawab oleh individu tidak dikenali dan memaklumkan Nadia bersama suaminya terbabit dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pasangan itu terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 74 Jalan Air Sejuk, Setiu, kira-kira jam 7.15 pagi tadi, ketika dalam perjalanan menziarahi jenazah ibu Nadia di Pulai Chondong, Machang.

Nadia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pasangan itu baru melangsungkan perkahwinan pada 17 Oktober lalu.

Nurul Asiah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, abang Nadia, Muhammad Danial Hakim Zamani, 24, bergegas ke lokasi kemalangan namun dimaklumkan adiknya sudah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Setiu.

Katanya, mengikut perancangan awal, jenazah ibu Nadia sepatutnya dikebumikan selepas Zuhur tetapi memandangkan jenazah Nadia dalam perjalanan dibawa pulang ke Machang sebaik selesai bedah siasat di Hospital Setiu, keluarga mengambil keputusan mengebumikan dua beranak itu serentak.

"Alhamdulillah, pengebumian adik dan anak saudara saya lancar. Mereka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ajil pada jam 3.15 petang," katanya.

Sumber: BH Online