Johor Bentang SOP Solat Jemaah Tanpa Penjarakkan Sosial


PETALING JAYA - Kerajaan Johor akan membentangkan cadangan SOP baharu bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau di negeri itu dilakukan tanpa penjarakan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor, minggu depan bagi melengkapkan kertas cadangan itu.

Katanya, kertas cadangan itu kemudian akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi mendapatkan perkenan baginda.

Beliau berkata, ia menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat Islam di Johor berkenaan solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini kembali seperti sediakala, tanpa penjarakan sosial, selepas Johor memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, minggu hadapan kita akan perincikan kertas cadangan SOP baharu solat jemaah di masjid dan surau Johor sebelum dipersembahkan kepada Sultan Johor.

“Dua cadangan akan dimasukkan dalam kertas cadangan itu. Pertama, solat jemaah dengan kapasiti penuh di masjid/surau tanpa penjarakan sosial dan kedua, solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, Johor juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mempersembahkan kedua-dua cadangan itu kepada Sultan Ibrahim.

“Insya-Allah, awal Januari ini, Johor akan mulakan tatacara SOP baharu solat berjemaah baharu, dan diharapkan cadangan solat jemaah tanpa penjarakan sosial akan dibenarkan MKN dan diperkenan Sultan Johor,” katanya.

Sejak bulan lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal 1m.

Menurut kenyataan dikeluarkan 13 Okt lalu, Johor turut membenarkan solat fardu lima waktu dan solat jenazah pula mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1m.

Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, SOP baharu solat berjemaah, terutama kapasiti penuh tanpa penjarakan sosial itu, tertakluk pada situasi Covid-19 semasa negeri ini.

Sumber: FMT