Jumpa Najis Tikus, Kilang Roti Diarah Tutup


GEORGETOWN - Kilang roti di Jalan Kedah di sini, diarahkan tutup berikutan gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) termasuk penemuan najis tikus.

Pada Op Bersih yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), pengendali makanan turut menggunakan troli bertingkat yang dipenuhi minyak tepu bagi meletakkan adunan roti.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata tindakan itu boleh menyebabkan pencemaran silang sekiranya minyak tepu berkenaan cair apabila roti dipanaskan.

Kilang yang beroperasi sejak 50 tahun lalu itu turut didapati menggunakan logo halal meragukan pada kotak produk sedangkan mereka tidak memperoleh sijil halal.

"Bukan sahaja kilang berkenaan, malah kebanyakan premis yang diserbu didapati menggunakan logo halal meragukan dan perkara ini membimbangkan terutama kepada pengguna Muslim.

"Kita tidak melarang tetapi ia perlu mendapat kelulusan pihak berwajib dan kita sudah nasihati mereka supaya tidak melakukan kesalahan itu lagi.

"Najis tikus juga ditemui di bahagian simpanan dulang roti selain di atas plastik pembungkusan. Kita turut mengarahkan pekerja terbabit supaya tidak lagi menggunakan plastik berkenaan yang dikhuatiri tercemar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, serbuan kedua di Jalan Pintal Tali, di sini, mendapati kilang membuat mi berkenaan turut dikesan tidak mematuhi PJKM.

Sumber: BH Online