Kami Tetap Bantah Semua Projek Tambak Laut Seluruh P. Pinang - Persatuan Nelayan


GEORGE TOWN - Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) sekali lagi menegaskan bahawa ia membantah semua projek penambakan di negeri itu.

Pendirian itu dinyatakan dalam resolusi yang dicapai pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan berkenaan di Hotel Pen Mutiara, hari ini.

Presidennya Mahadi Md Rodzi berkata, resolusi itu membuktikan Pen Mutiara mewakili semua nelayan di negeri itu dalam membantah projek-projek berkenaan.

“Kami tetap dengan pendirian kami untuk membantah projek penambakan laut di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk projek PSR (Projek Penambakan Pulau Pinang Selatan) di selatan Pulau Pinang dan projek penambakan baharu Rayston Residence di Bagan Ajam, Butterworth,” katanya ketika sidang media selepas AGM itu.

Mahadi turut menafikan Pen Mutiara cuba “mengugut, menafikan atau menipu” nelayan yang dikatakan menyokong projek PSR itu.

Pada 13 Oktober lalu, Pen Mutiara mendakwa 435 nelayan ditipu supaya menandatangani petisyen menyokong PSR oleh kumpulan Pertubuhan Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang dengan janji akan menerima bantuan Covid-19, bayaran ex-gratia, bot dan ganjaran lain.

Pen Mutiara turut menyuarakan bantahan terhadap desas-desus syarikat tuna swasta bakal membeli tanah seluas tujuh ekar milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung untuk pembinaan projek pendaratan tuna.

“Kami tidak menolak mana-mana projek pendaratan tuna, tetapi kami tidak mahu ia dibina atas tanah LKIM di mana terdapatnya kompleks hotel dan restoran Pen Mutiara dan pelabuhan pendaratan ikan nelayan sedia ada.

“Kami telah menghantar surat bantahan secara serahan tangan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya.

PSR, projek penambakan yang dicadangkan kerajaan negeri Pulau Pinang, merangkumi pembinaan tiga pulau buatan manusia dengan keluasan keseluruhan 1,800ha. Kerajaan negeri merancang menjual pulau berkenaan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Perancangan itu bagaimanapun menghadapi halangan baru-baru ini selepas Jabatan Alam Sekitar membatalkan kelulusan penilaian impak alam sekitar yang diberikan pada 2019 susulan rayuan yang difailkan kumpulan nelayan.

Sumber: FMT