"Kedah Masih Tidak Mahu Faham.." - Ketua Menteri Pulau Pinang


ALOR SETAR - Susulan dari kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, di Facebook berhubung tuntutan bayaran balik caj air mentah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pantas memberi tindak balas.

Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan DAP itu tidak akan membayar tuntutan Kerajaan Negeri Kedah itu dengan alasan "air mentah Sungai Muda diambil dalam sempadan Pulau Pinang".

“Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi. Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit.

“Ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri kita. Nampaknya Kedah masih tidak mahu faham,” katanya menuduh Kerajaan Negeri Kedah enggan memahami isu tersebut.

Muhammad Sanusi dalam kenyataannya memberitahu bahawa beliau berdepan secara bersemuka dengan Kon Yeow di Istana Negara dan berterus-terang bertanya tentang bayaran air mentah kepada Kedah.

MB Kedah itu menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap jawapan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menurutnya memberi jawapan yang "sukar dihadam" pemikiran.

“Sukar sekali menghadamkan jawapan beliau kerana semua orang tahu PBA (Perbadanan Bekalan Air) menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah.," kata Muhammad Sanusi. - Kedahnews.com