KOTA KINABALU - Bekas Penasihat DAP Sabah Jimmy Wong tidak terus meninggalkan politik walaupun mengumumkan keluar parti beberapa hari lalu, sebaliknya menubuhkan sebuah NGO yang akan bertindak sebagai platform untuknya memasuki semula arena itu.
Wong, 70, berkata NGO itu, yang dinamakan Sabah Natural Justice for Sabahans, akan digunakan untuk “menguji keadaan” sebelum keputusan dibuat untuk melihat sama ada ia boleh berfungsi sebagai parti politik.
“Saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa Jimmy masih mempunyai keupayaan dan tenaga untuk mengejar matlamat yang lebih tinggi pada usia 70 tahun,” katanya menurut laporan The Borneo Post Online hari ini.
“Tetapi saya perlu mengujinya dahulu. Jika rakyat fikir kami baik, kami akan menjadi parti politik.”
Wong, bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan wakil rakyat negeri, berkata ekonomi, kemiskinan, pendidikan dan hak anak negeri akan menjadi antara isu yang akan diperjuangkan oleh NGO itu.
Katanya, NGO itu juga bersedia menerima individu daripada pembangkang atau kerajaan asalkan mereka mempunyai matlamat yang sama dengan pertubuhan itu.
Tambahnya, bekas setiausaha DAP Sabah Edwin Bosi, yang sebelum ini ADUN Kepayan, akan menjadi Setiausaha Agung NGO itu.
Wong, yang mendapat jolokan “harimau” ketika menjadi wakil rakyat tunggal pembangkang pada 2008, mengumumkan keluar dari DAP Isnin lalu, berkata beliau kecewa dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
Mereka yang tidak dipilih semula ke jawatankuasa negeri termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan bekas Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin, ADUN Kepayan dan Elopura Jannie Lasimbang dan Calvin Chong, serta bekas senator Adrian Lasimbang.
Wong, yang merupakan pembantu menteri negeri dalam kerajaan negeri pimpinan Warisan sebelum ini, juga mendakwa Ketua DAP negeri yang baharu, Frankie Poon telah mengabaikan “pemikir parti” yang telah lama memperjuangkan parti itu.
Beliau berkata beliau telah lama menyimpan kekecewaan terhadap kepimpinan negeri tetapi keputusan pemilihan parti adalah yang terakhir.
Susulan itu, pemimpin parti termasuk Penolong Setiausaha Agung DAP Teresa Kok serta Poon telah mengeluarkan kenyataan untuk memujuk Wong supaya mempertimbangkan semula keputusannya.
Sumber: FMT