Kes Rasuah Terowong: Usaha Akhir Guan Eng Rayu Pindah Kes Ke Mahkamah Tinggi


PUTRAJAYA - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha akhir untuk memindahkan perbicaraan rasuah projek terowong bawah laut terhadapnya ke Mahkamah Tinggi.

Peguamnya Haijan Omar berkata, notis rayuan telah difailkan minggu lalu untuk mengetepikan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa hakim Mahkamah Sesyen cukup kompeten untuk membicarakan kes itu.

“Kami akan memfailkan petisyen rayuan sebaik alasan penghakiman Mahkamah Rayuan diperolehi berserta rekod rayuan lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, sementara itu perbicaraan Lim akan bersambung minggu depan.

Pada 16 Nov, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Nor Bee Ariffin menolak dua isu perundangan yang dikemukakan Lim kerana mendapati ia telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Nor Bee bersidang bersama Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah.

Ruzima yang membacakan penghakiman mahkamah ketika itu berkata, Lim gagal memenuhi syarat untuk pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Lim mahu membangkitkan isu berkaitan perlembagaan di Mahkamah Persekutuan, namun prosedur menetapkan perbicaraan mesti bermula di Mahkamah Tinggi untuk membolehkan perkara itu berlaku. Ini kerana prosiding di Mahkamah Sesyen hanya berakhir di peringkat Mahkamah Rayuan.

Sumber: FMT