Khalid Samad Janji Bonus Jika KL Menang, Tapi Malas Nak Sebut Jumlah


KUALA LUMPUR - Meskipun dilabel pasukan 'underdog', Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad tetap percaya barisan pemain KL City FC mampu menjulang Piala Malaysia, malam ini.

Keyakinan itu bersandarkan kepada semangat juang tinggi yang ditunjukkan barisan pemain dan persembahan konsisten yang ditunjukkan pemain 'The City Boys' sepanjang musim ini.

"Pasukan akan menang atas sebab semangat juang yang lebih tinggi. Kita bukanlah pasukan dengan bayaran gaji tertinggi tetapi pemain ada komitmen tertinggi dalam kalangan semua pasukan.

"Saya yakin menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dianggap sebagai pasukan impian tetapi kami mampu mencipta kejutan kerana kami lebih dahagakan kemenangan ini.

"Kami lebih mahukan kejayaan ini dan pemain KL City FC akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi pertandingan ini," katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam masa sama, Khalid juga mengesahkan 'durian runtuh' akan menanti pemain sekiranya berjaya menamatkan penantian 32 tahun pasukan itu untuk menjulang Piala Malaysia.

Bagaimanapun, jumlahnya masih belum ditentukan namun KLFA akan tetap memberikan ganjaran untuk membuktikan komitmen mereka kepada barisan pemainnya.

"Kita memang janjikan bonus kepada pemain jika mencapai kemenangan sebagai juara Piala Malaysia bagi tahun ke-100. Itu satu pencapaian yang mengatasi segala harapan kita.

"Hadiah kejuaraan ini akan kita berikan kepada pemain sebagai bonus dan saya yakin penaja juga akan turut menambah (imbuhan).

"Jumlahnya tidak perlulah saya sebutkan kerana malu untuk disebutkan jika hendak dibandingkan dengan bonus yang ditawarkan JDT," katanya.

Sumber: BH Online