Kos Sebenar Haji Telah Meningkat 139% Sejak 2001 - 2019


PETALING JAYA – Tabung Haji (TH) mendedahkan kos untuk menunaikan haji bagi seorang jemaah telah meningkat sehingga 139 peratus sejak 2001 sehingga 2019.

Menerusi perkongsian di laman rasmi Facebooknya, TH memaklumkan, kenaikan kos tersebut melibatkan beberapa komponen utama antaranya kos penginapan di Mekah dan Madinah, penerbangan pergi serta balik.

Selain itu, peningkatan itu turut melibatkan kos pengangkutan bas, perkhidmatan Mutawif, perkhemahan di Arafah dan Mina, sajian makan setiap hari di Mekah serta Madinah.

“Pada tahun 2001, kos menunaikan haji adalah kira-kira RM9,578 dan telah meningkat 139 peratus sehingga tahun 2019 menjadi kos tersebut sebanyak RM22,900,” kata TH di Facebook.

Menurut TH, kenaikan kos tersebut melibatkan beberapa faktor antaranya kadar inflasi dan sara hidup di Arab Saudi serta pergerakan mata wang asing.

“Pengenalan caj dan cukai baharu di Arab Saudi, penambahbaikan kualiti perkhidmatan serta kemudahan turut menyumbang kenaikan kos berkenaan.

“Selain itu, pembangunan di Mekah dan Madinah juga turut menyebabkan kenaikan kos berkenaan,”ujar TH. 

Sumber: K! ONLINE.