KPDNHEP Kedah Periksa 342 Pasar Awam Utama


ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan 342 pemeriksaan di pasar awam utama di negeri ini sejak 1 November lalu untuk memastikan tidak berlaku kenaikan harga barang secara mendadak.

Pengarahnya, Rae Morn Verak, berkata pihaknya memandang serius isu kenaikan harga barangan, termasuk sayur-sayuran dan barang mentah sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, antara punca kenaikan harga barangan adalah peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun.

"Sebahagian besar kos operasinya membabitkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.

"Sehubungan itu, KPDNHEP Kedah menggerakkan 172 pegawai penguat kuasa dan 51 pegawai pemantau harga (PPH) di seluruh negeri ini bagi memantau serta menangani isu kenaikan harga barangan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Rae berkata, bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang, terutama bagi penduduk luar bandar dan pedalaman, KPDNHEP melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk program penyeragaman harga dan program pengedaran barangan perlu seperti beras, minyak masak, gula, diesel petrol dan gas memasak.

Beliau berkata, pihak KPDNHEP negeri turut menjalankan pemeriksaan berterusan di pasar awam dan pasar raya untuk memastikan peniaga tidak menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga serta mengambil keuntungan secara berlebihan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Mereka boleh dikenakan tindakan penalti bagi kesalahan mencatut, iaitu Seksyen 14 (1) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun untuk individu, manakala kesalahan kali kedua denda tidak melebihi RM250,000 atau tidak melebihi lima tahun penjara.

"Bagi syarikat atau perbadanan pula denda tidak melebihi RM500,000, manakala kesalahan kali kedua denda tidak melebihi RM1 juta," katanya.

Rae berkata, sepanjang tahun ini, KPDNHEP Kedah menjalankan 69,166 operasi pemeriksaan premis dan mengambil 924 tindakan membabitkan pelbagai akta dengan nilai rampasan RM607,051.75, manakala nilai kompaun sebanyak RM152,600.

Sumber: BH Online