PETALING JAYA - Langkawi bakal menerima ketibaan pelancong asing bermula 3 Dis ini menerusi penerbangan terus pertama dari Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.
Katanya, penerbangan pertama akan membawa kira-kira 200 pelancong asing sempena Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi.
“Pada minggu itu, dua penerbangan lain dari Singapura turut memasuki Langkawi,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Nasaruddin berkata, LADA menjangkakan beberapa penerbangan sewa khas turut tiba menjelang percutian musim sejuk pada pertengahan Disember ini.
“Untuk tempoh itu, LADA menyasarkan 5,000 pelancong asing akan mengunjungi pulau ini sehingga akhir tahun ini di bawah program itu.
“Secara purata, 150 pelancong asing akan memasuki pulau ini sehari dan menjana pendapatan kira-kira RM24.5 juta,” katanya.
Sumber: FMT