ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan laporan palsu sebuah portal yang kononnya "guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid".
Menterinya Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu.
"Saya kongsikan kenyataan media KPM berhubung laporan portal berita bertajuk "Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid".
"Saya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut," katanya yang dipetik dari laman Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Dr. Radzi turut menegaskan KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk "Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang" sebagaimana yang tular di laman-laman media sosial.
"KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk "Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang" dalam mana-mana dokumen rasmi KPM.", jelasnya lagi.
Menteri itu turut menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan sesuatu berita itu sebelum menyebarkannya.
Sebelum ini, warga netizen dilihat kecoh "membawang" di media sosial berhubung berita palsu tersebut. - Kedahnews.com
Berikut adalah kenyataan media KPM berhubung berita palsu tersebut: