Lebih RM80 Juta Setahun Bayar Elaun JKKK Sarawak


PUTRAJAYA - Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM80 juta setahun bagi pembayaran elaun ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wilayah Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Kabinet pada 19 November lalu memutuskan elaun Setiausaha JKKK, pengendalian mesyuarat dan kehadiran mesyuarat JKKK di Wilayah Sarawak dibayar kerajaan Pusat.

Katanya, elaun bagi Pengerusi JKKK Sarawak dibayar atas persetujuan kerajaan Sarawak, manakala elaun Setiausaha JKKK Sarawak dan elaun mesyuarat JKKK dibayar tidak lama lagi.

Beliau berkata, jumlah peruntukan elaun tahunan itu tertinggi berbanding negeri lain.

"Pembayaran bagi ketiga-tiga elaun itu sebelum ini menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak, dilihat dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran JKKK di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Marudi yang disempurnakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Abang Openg hari ini.

Mahdzir berkata, inisiatif ini mengurangkan beban kewangan kerajaan Sarawak khususnya dalam melaksanakan program pembangunan luar bandar yang membabitkan peranan institusi JKKK.

Katanya, elaun itu adalah sebagai tambahan kepada elaun Pengerusi JKKK Wilayah Sarawak disediakan Pusat sebelum ini berjumlah RM35.8 juta setahun.

"Setakat ini Pusat menyediakan peruntukan lebih RM213 juta bagi pembayaran elaun untuk 15,434 JKKK dan JPKKP di seluruh negara setiap tahun.

"KPLB melihat peranan JKKK dan JPKKP amat penting terutama dalam situasi negara berhadapan pandemik COVID-19 yang bukan saja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat kerajaan kepada komuniti setempat malah turut terbabit sebagai pelaksana pelbagai program pemerkasaan komuniti anjuran kerajaan," katanya.

Sumber: BH Online