Lelaki Keluar Rumah Sejam Sebelum Ditemui Mati Terapung


TASEK GELUGOR - Mayat seorang lelaki warga tempatan yang hanya berseluar pendek, ditemui terapung di sungai Kampung Tebing Sungai di sini, tengah hari semalam.

Kejadian disedari penduduk kampung berkenaan pada jam 12.30 tengah hari sebelum menghubungi polis bagi tindakan lanjut.

Difahamkan, sebuah motosikal dipercayai milik mangsa berusia 36 tahun itu turut ditemui dalam kawasan kelapa sawit tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, polis menerima panggilan orang awam pada jam 1.30 tengah hari sebelum ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut.

"Isteri mangsa yang ditemui memberitahu, suaminya keluar rumah pada jam 11.30 pagi tadi (semalam).

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat," katanya di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan ke atas mayat tidak menemui unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: BH Online