Majikan Dapat Pekerja Asing 2 Minggu Lagi - KDN


ISKANDAR PUTERI - Majikan yang membuat permohonan dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) boleh menerima khidmat tenaga kerja asing dua minggu lagi, kata Hamzah Zainudin.

Menteri Dalam Negeri berkata, kementerian akan mengambil warga asing yang sudah berdaftar dalam program itu untuk diserahkan kepada majikan atau syarikat yang sudah membuat permohonan.

“Kita (kementerian) beri keutamaan mereka (warga asing) yang sudah berada dalam negara. Kita akan panggil syarikat besar untuk ambil mereka dan serah pada syarikat ini, (khidmat tenaga kerja asing) yang baharu akan mengambil masa.

“Mereka ini (berdaftar) sudah terima vaksin, semua cukup dan boleh kerja dua minggu dari sekarang. Itu kerjasama kita lakukan bersama syarikat yang mohon dapatkan pekerja dan akan selesaikannya sebelum akhir tahun,” katanya pada sidang media.

Awal bulan ini, Hamzah dilaporkan berkata, seramai 212,926 pekerja asing memohon untuk bekerja semula melalui program RTK sejak ia dilaksanakan tahun lalu.

Beliau juga berkata, sebanyak 11,751 majikan turut memohon dalam program tersebut untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing.

Hamzah berkata, kementeriannya sudah membuat semakan mengenai permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta perladangan.

Sumber: FMT