KUALA LUMPUR - Pengendali KL City FC, Bojan Hodak percaya anak buahnya bakal mendapat sokongan padu daripada sebahagian besar penyokong bola sepak tempatan bagi aksi final Piala Malaysia, malam ini.
Ini kerana skuad 'The City Boys' itu turun sebagai pasukan bukan pilihan dan situasi itu jelas memberikan kelebihan besar, apatah lagi tiada harapan tinggi yang disandarkan kepada mereka untuk menjulang piala berusia 100 tahun itu.
"Kami tidak tertekan kerana kami tahu mereka (JDT) adalah pasukan pilihan. Mungkin majoriti penyokong di Malaysia akan menyokong kami kerana kami bukan pilihan tetapi semuanya bergantung kepada bagaimana perlawanan itu akan berlangsung.
"Jika mereka tidak mendapat gol awal, mereka yang akan rasa tertekan, jadi itu mungkin memberi peluang kepada kami untuk mengejutkan mereka. Tiada siapa akan jangkakan kami (menang) terutama selepas kami kepenatan.
"Mereka (JDT) ada dua pasukan dengan bajet 10 kali ganda dan fasiliti terbaik tetapi bola itu bulat, apa sahaja boleh berlaku," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sebagai rekod, ini kali pertama skuad KL City FC mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh 32 tahun dan mereka turun dengan misi memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat selepas memenanginya pada 1987, 1988 dan 1989.
Pada masa sama, pengendali dari Croatia itu menyifatkan aksi final begitu 'memudahkan' kerana semua pemain bermotivasi tinggi secara automatik meskipun dipaksa bekerja keras pada aksi separuh akhir berdepan Melaka United.
"Mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan, jadi saya harapkan perlawanan yang baik dapat ditunjukkan. Kami akan memberikan usaha semaksimum mungkin bagi mendapatkan keputusan yang positif.
"Semua orang mahukan kemenangan kerana ini adalah pentas akhir. Tiada siapa yang ingat pasukan nombor dua.
"Kita ada dua pemain senior yang hebat iaitu Indra Putra Mahayuddin dan Shukor Adan, jadi kami harap boleh memenangi piala ini untuk mereka," kata Hodak.
Sumber: BH Online