MUSI BANYUASIN - Seorang kanak-kanak autisme maut selepas didakwa didera oleh ibu bapanya dalam satu kejadian, di sini baru-baru ini.
Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu didakwa sering dipukul bertubi-tubi oleh ibu bapanya kerana kerap membuang air di merata tempat.
Keaadan itu mencetuskan rasa malu pada ibu bapanya terhadap jiran mereka.
Menurut jurucakap polis Musi Banyuasin, pada hari kejadian, kanak-kanak istimewa itu dikatakan membuang air besar menyebabkan ibu bapanya ‘naik hantu’ lalu memukulnya dengan paip getah.
“Bapa mangsa turut menendang alat kelamin anaknya sebanyak beberapa kali, manakala ibunya pula memukul kepala kanak-kanak itu menggunakan gayung sehingga dia pengsan.
“Pasangan suami isteri itu hanya membiarkan anak mereka pengsan dan kanak-kanak itu hanya dibawa ke hospital oleh jiran yang mengetahui kejadian tersebut,” jelas jurucakap polis.
Selepas tiba di hospital, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati banyak kesan lebam serta luka pada tubuh mangsa.
Hospital melaporkan perkara itu kepada polis dan kedua ibu bapa mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, ibu bapa mangsa mengaku memukul anak mereka dan tidak menyangka ia berakhir dengan kematian. -Agensi