Man U Umum Ole Lepaskan Jawatan


MANCHESTER - Manchester United menamatkan khidmat Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus di Old Trafford selepas tiga tahun, susulan hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Daibkan oleh pasukan bergelut, Watford 4-1, kelmarin menjadi kemuncak buat lembaga pengarah United, yang bertahan dengan Solskjaer dalam beberapa minggu kebelakangan ini walaupun tewas di tempat sendiri kepada Liverpool dan Manchester City.

"Manchester United mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer sudah melepaskan jawatannya sebagai pengurus," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Ole akan sentiasa menjadi legenda di Manchester United dan dengan rasa kesal, kami sudah mencapai keputusan sukar ini.

"Walaupun beberapa minggu kebelakangan ini mengecewakan, kita tidak seharusnya melupakan semua kerja yang sudah dilakukannya sejak tiga tahun lalu untuk membina semula asas untuk kejayaan jangka panjang."

Pengendali dari Norway itu meninggalkan United yang secara realistiknya terkeluar daripada perlumbaan merebut gelaran EPL, 12 mata di belakang pendahulu liga Chelsea - berada di tangga ketujuh liga dan tersingkir saingan Piala Liga.

Bekas pemain tengah, Michael Carrick yang menjadi sebahagian daripada pasukan kejurulatihan Solskjaer, akan mengambil alih tugas untuk pertembungan penting Liga Juara-Juara menentang Villarreal, Rabu ini.

Zinedine Zidane, yang memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Cristiano Ronaldo dan Varane di Real Madrid dilaporkan menjadi pilihan utama untuk menggantikan Solskjaer dengan pengurus Leicester, Brendan Rodgers dan bos Ajax, Erik ten Hag turut dalam persaingan itu. - AFP