KUALA LUMPUR - Majlis Belia Malaysia (MBM) serta 43 pemimpin utama pertubuhan belia meminta supaya diadakan segera pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha, berkata desakan untuk mengadakan pertemuan dalam tempoh 48 jam itu diputuskan menerusi Sidang Khas Dewan Tertinggi (DT) MBM yang berlangsung, semalam.
"Pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari depan seperti diumumkan dalam Sidang Parlimen 17 November lalu," katanya dalam kenyataan, semalam.
Jufitri berkata, MBM selaku rakan strategik utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dalam pembangunan belia negara, kesal dan terkilan yang amat mendalam berhubung pengumuman Ahmad Faizal Azumu itu.
"MBM ingin menegaskan bahawa had umur 30 tahun bukan isu utama kerana MBM dan badan gabungan sudah bersetuju menggerakkan usaha meremajakan pertubuhan belia.
"Cuma isunya adalah soal rundingan untuk memutuskan secara bersama tarikh penguatkuasaan had umur agar proses transisi berlaku secara lancar dan mencapai matlamat.
"MBM yakin setiap masalah boleh diselesaikan melalui rundingan dan permuafakatan kedua-dua pemegang taruh utama pembangunan belia negara," katanya dalam kenyataan itu.
MBM menjadi penaung kepada 41 badan gabungan dan bersekutu pertubuhan belia antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Briged Putera Malaysia, Briged Puteri Malaysia, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gerakan Belia 4B Malaysia dan banyak lagi.
Isu menurunkan had usia maksimum belia itu mula tercetus ketika menteri era kerajaan Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada 2019 lalu.
Namun dibantah keras banyak organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun berbanding cadangan asalnya, setakat 35 tahun.
Bagaimanapun, cadangan itu tidak dilaksanakan ketika kementerian berkenaan diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetapi diteruskan apabila diambil alih Ahmad Faizal.
Sumber: BH Online