ALOR SETAR - Walaupun menang 2/3 pada Pilihanraya Negeri Melaka baru-baru ini, UMNO dicadangkan agar segera membuat "post-mortem", bermuhasabah di sebalik erti keputusan PRN tersebut kepada senario politik dan pengundi keseluruhan.
Ketua Penerangan UMNO, Syahril Sufian Hamdan dalam kenyataannya di Facebook berkata, beliau mengingatkan diri dan rakan-rakan separtinya agar membuat sebuah analisa mendalam dan menyeluruh.
"Membuat analisa mendalam tentang semua aspek yang berlaku di Melaka di pihak kita, pihak lawan dan pihak pengundi.
"Postmortem" bukan hanya penting sewaktu keputusan tidak berpihak kepada kita. Tetapi ia sama penting sewaktu menang, supaya kita tak tersilap membuat kesimpulan meluas," katanya.
Menurutnya lagi, UMNO harus mengenalpasti dan mengkaji faktor-faktor penyumbang kemenangan tersebut sama ada ianya terpakai di tempat lain, atau di waktu lain.
Tegasnya, adalah penting untuk parti tonggak Melayu Islam itu kekal berada dalam mode "mengejar" dan tidak meletakkan parti itu dalam keadaan "selesa".
"Sejarah PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar dan PRU14 dijadikan iktibar agar tak berulang. Pendekatan dan naratif yang menjadi, kita teruskan.
"Yang perlu diperbaiki, kita kemaskan. Tak rugi kita kekal dalam mode "mengejar" berbanding mode selesa," jelasnya.
UMNO kelmarin berjaya mengejutkan Pakatan Harapan (PH) apabila mencatat kemenangan di 21 buah kerusi DUN Melaka, sekaligus mengurangkan 8 kerusi yang dimenangi DAP pada PRU14 yang lalu kepada hanya 4 buah kerusi sahaja.
Manakala PPBM yang mengemudi Perikatan Nasional (PN) pada awalnya yakin mendominasi PRN Melaka dan memburuk-burukkan BN, namun hanya mampu menang tipis di 2 buah kerusi DUN hasil bantuan PAS. - Kedahnews.com