MP Jelutong Rayu Kementerian Perpaduan Didik MB Kedah


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, merayu Kementerian Perpaduan supaya mendidik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Mohd Nor, supaya lebih berhemah mentadbir negeri Kedah.

Ahli Parlimen itu mengkritik tindakan Mohammad Sanusi menutup kedai judi di negeri itu yang disifatkan sebagai contoh sikap pemimpin PAS yang tidak menjaga perpaduan di negara ini

Katanya, rakyat di negara ini bersifat majmuk dan pemimpinnya perlu bertindak sensitif kepada masyarakat.

“Di sini saya ingin merayu kepada Kementerian Perpaduan supaya beri pengajaran untuk mendidik Menteri Besar Kedah supaya lebih berhemah lagi cara beliau mentadbir Kedah.

“Kedah negeri yang mempunyai masyarakat majmuk, kita perlu sensitif kepada masyarakat majmuk.

"Saya mengambil contoh isu Menteri Besar Kedah, kalau tahun lalu saya merayu membabitkan bantuan berhubung isu perobohan kuil dan ia berjaya diselesaikan, kini satu lagi masalah, iaitu penutupan kedai judi yang membawa macam-macam masalah,” katanya.

Wakil Rakyat DAP itu turut membidas pemimpin PAS yang disifatkan tidak mencontohi ajaran bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memupuk perpaduan antara kaum dalam negara ini.

“Saya nak mengambil kesempatan untuk merujuk kepada Almarhum Nik Aziz sebagai ikon perpaduan walaupun beliau pemimpin PAS. 

"Kita lihat ketika pentadbirannya dulu, orang bukan Islam di Kelantan, kebajikannya diberi perhatian malahan peruntukan besar diberikan Nik Aziz kepada masyarakat India di Kelantan dan kepada kerja membina kuil dan sebagainya.

“Saya nak cadang Kementerian Perpaduan menerbitkan satu rencana mengenai Nik Aziz kerana kita lihat, pemimpin PAS sekarang tidak begitu berhemah, mungkin juga tak tahu ajaran sebenar Nik Aziz," katanya yang dipetik dari FMT.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan di Dewan Rakyat.

Namun begitu, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) bingkas mencelah membetulkan Rayer dengan memaklumkan aktiviti judi di Kelantan  turut diharamkan ketika zaman Nik Aziz sebelum diikuti Kerajaan Negeri Kedah.

“Judi di Kelantan diharam sejak zaman Tok Guru Nik Aziz lagi. Menteri Besar Kedah ikut jejak Nik Aziz,” celahnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan ucapan Rayer sebenarnya penuh naratif kebencian walaupun kononnya bercakap tentang perpaduan. -Kedahnews.com