KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau berpegang kepada prinsip menegakkan 'amar ma'ruf nahi mungkar' sebagaimana dianjurkan Islam walaupun menyedari ia mungkin memberi kesan ke atas pangkat dan kedudukannya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam perjalanan karier politiknya sehingga menerajui kepemimpinan negara, banyak liku dan jatuh bangun yang terpaksa dilalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak tersebut.
Katanya, beliau menghadapi semua dugaan dan cabaran itu atas kesedaran kehidupan manusia di dunia hanya sementara dan apa yang penting ialah mesti melakukan perkara yang betul sebagaimana diperintahkan Allah.
"Prinsip saya seperti dianjurkan agama Islam ialah 'amar ma'ruf nahi mungkar'. Jika kita lihat suatu kemungkaran berlaku, maka menjadi kewajipan mencegahnya dengan niat untuk memperbetulkan keadaan walaupun ia mungkin mempunyai kesan ke atas pangkat dan kedudukan kita.
"Bagi saya, itu tidak mengapa. Yang penting ialah kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita di sisi Allah. Itu yang paling utama dan kita sebagai hambanya hendaklah sentiasa reda dengan ketentuan-Nya," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berucap demikian dalam majlis pelancaran buku mewah 'Abah, Teguh Kita Bersama' yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, di sini hari ini.
Buku mewah 'Abah, Teguh Kita Bersama' mengandungi 370 foto kronologi, perjalanan hidup dan strategi Muhyiddin dalam karier politiknya yang mencecah 50 tahun.
Ia diterbitkan dengan kerjasama Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka, Ummah Aid Foundation dan Zumail Global Sdn Bhd.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, mungkin ditakdirkan Allah atas sebab prinsip perjuangan ditegakkan bersama rakan seperjuangan, beliau diberikan amanah lebih besar memimpin negara pada waktu pandemik COVID-19.
Katanya, tanggungjawab itu amat besar kerana perlu mengemudi negara dalam waktu yang paling sukar apabila meletusnya krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala besar dan berlarutan untuk suatu tempoh panjang.
"Kalau boleh saya katakan, menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik itu suatu episod paling sukar dalam sejarah politik saya. Bukan sahaja saya berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang perlu ditangani dengan cermat, malah tekanan politik dari pelbagai sudut.
"Apapun, saya dan rakan dalam Kabinet pada waktu itu cuba melakukan terbaik dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan melindungi kehidupan mereka," katanya.
Mengulas panggilan 'Abah' kepadanya, Muhyiddin menjelaskan hati beliau amat tersentuh dan dapat merasakan gelaran itu bukan dibuat-buat orang ramai tetapi terbit dari hati nurani mereka yang jujur dan ikhlas.
"Mungkin apa yang saya lakukan sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri, walaupun hanya untuk suatu tempoh singkat, mempunyai kesan agak mendalam kepada kehidupan rakyat.
"Mereka nampaknya menghargai apa yang saya dan kerajaan pimpinan saya lakukan untuk melindungi nyawa dan kehidupan mereka. Kerana itulah agaknya mereka memanggil saya 'Abah'," katanya.
Sumber: BH Online