Mula Pandai Cakap Orang Putih, Sajat Bakal Terbang Ke Hollywood Untuk Ditemubual Ellen Show


KUALA LUMPUR - Usahawan transgender, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dilaporkan akan terbang ke Hollywood untuk muncul dalam program bual bicara terkemuka, The Ellen Show.

Nur Sajat, 36, yang mengaku dirinya sudah pandai berbahasa Inggeris dijangka terbang ke Amerika Syarikat pada Januari depan sebagai memenuhi undangan program yang dikendalikan bintang Hollywood, Ellen DeGeneres.

"Saya akan ke AS pada Januari, kemudian barulah ke Singapura pada Februari, tahun depan.

"Saya diundang untuk temubual menerusi program bual bicara Hollywood, The Ellen Show. Saya juga sudah mula pandai bercakap orang putih. Jadi, saya akan terbang, terbang dan terbang, itulah kerja saya," katanya bangga sambil ketawa.

Pengumuman dibuat Nur Sajat secara spontan menerusi akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.

Menerusi video yang berdurasi 44 saat, Nur Sajat tampil tanpa solekan menjawab pertanyaan pengikut mengenai perancangan datang ke Singapura.

Individu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia itu kini menetap di Australia sejak 18 Oktober lalu selepas mendapat suaka politik dan semalam, Nur Sajat ditemuramah BBC News.

Nur Sajat dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 6 Januari lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion.

Nur Sajat dipercayai melarikan diri ke Thailand ketika negara sedang berada di bawah fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Mac lalu.

Penyanyi lagu Makhluk Pendosa itu kemudiannya terbang ke Australia pada Oktober lalu selepas ditahan Imigresen Thailand pada 9 September atas kesalahan memasuki negara berkenaan secara tidak sah.

Kemudiannya, Nur Sajat didakwa di mahkamah, namun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan RM8,343 yang dilakukan seorang warga tempatan.

Menerusi temubual bersama BBC, Nur Sajat menegaskan, tidak akan pulang ke Malaysia kerana berasakan dirinya ditindas dan tidak boleh menjadi diri sendiri.

"Saya tidak akan kembali ke Malaysia kerana tiada kedamaian. Apabila berada di Australia, saya lebih bebas sebagai transwoman," katanya. -Kedahnews.com