Nafi Ahli MIC "Buka Seluar", Berkata Kesat, Bincang Tindakan Undang-Undang


ALOR SETAR - Pengerusi MIC Sungai Siput K Manimaran menafikan wanita yang mendakwa seorang ahli parti itu telah mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan membuka seluarnya ketika melawat sebuah kawasan perumahan di Sungai Siput untuk meninjau isu longkang di sana.

Manimaran menegaskan, beliau berada di lokasi terbabit ketika kejadian, sebaliknya mendakwa wanita itu sengaja mereka cipta dakwaan palsu bagi menagih simpati penduduk di situ.

“Saya berada di situ ketika insiden itu berlaku dan dengan ini saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa tiada sebarang gangguan seksual dilakukan oleh anggota kami.

“Wanita itu sengaja mencipta dakwaan palsu untuk mendapatkan simpati daripada penduduk di situ,” katanya, memetik laporan FMT.

Beliau juga memberitahu MIC akan membuat laporan polis esok dan akan berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita tersebut.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi media mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Saya mengesahkan bahawa telah menerima laporan polis pada 25 Nov dan kami telah membuka kertas siasatan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam laporan polis itu, wanita terbabit berkata dia bersama ahli NGO dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) melawat kawasan perumahan itu setelah menerima aduan daripada penduduknya mengenai masalah longkang tersumbat.

Kata wanita itu, dia dihalang dan cuba dihalau oleh beberapa ahli MIC yang berkumpul di tempat kejadian yang mendakwa mereka sedang cuba menyelesaikan isu longkang berkenaan dan memberi amaran kepada NGO tersebut supaya tidak campur tangan.

Berdasarkan laporan polis, rombongan NGO tersebut tidak berganjak dan keadaan menjadi tegang apabila seorang anggota MIC menggunakan kata-kata kesat dan membuka seluar di depan wanita tersebut. - Kedahnews.com