WELLINGTON - New Zealand akan menamatkan sekatan pergerakan selama tiga bulan setengah di bandar terbesarnya, Auckland, awal bulan depan dalam pada ia mengguna pakai strategi kawalan virus korona baharu, kata Perdana Menterinya, Jacinda Ardern.
Ardern berkata, mulai 11.59 malam, 2 Dis, New Zealand akan mengguna pakai tindak balas Covid-19 baharu yang menyasarkan untuk mengekang varian Delta dan bukan menghapuskannya.
“Hakikatnya adalah Delta memang tidak akan lenyap,” katanya kepada pemberita.
“Walaupun tiada negara yang telah berjaya menghapuskan Delta sepenuhnya, New Zealand dalam kedudukan lebih baik untuk menanganinya (berbanding negara lain).”
Tindak balas virus korona Ardern setakat ini adalah untuk menuju ke arah “Covid Sifar” iaitu menghapuskan virus berkenaan dengan sekatan pergerakan, pengesanan kontak serta kawalan sempadan.
Walaupun bilangan kematian di negara dengan lima juta penduduk itu hanya 40 orang, kerajaan semakin didesak menamatkan sekatan pergerakan di Auckland yang dikuatkuasakan pada pertengahan Ogos ketika varian Delta pertama kali dikesan.
Ardern pada awalnya merancang melaksanakan sistem baharu berkenaan apabila kadar vaksinasi di negara itu mencapai 90%. Bagaimanapun, kerajaan memutuskan menamatkannya pada 2 Dis walaupun kadar vaksinasi baru sekitar 83%.
Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield berkata beliau tidak melihat masalah dengan perubahan dasar Covid-19 yang terbesar sejak pandemik bermula.
“Kita memasuki fasa terbaru ini dalam keadaan terbaik,” katanya.
“Keadaan wabak terkawal, kita memasuki musim panas manakala kadar vaksinasi juga tinggi malah terus meningkat.”
Sekatan jalan raya yang selama ini menghalang semua laluan ke Auckland akan dihentikan pada 15 Dis. Peraturan kuarantin yang ketat tetap akan dikenakan kepada pengembara antarabangsa, namun Arden membayangkan itu juga mungkin akan dilonggarkan pada awal tahun hadapan.
Sumber: FMT