Omicron: Tahap Keupayaan Vaksin Masih Belum Pasti


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum dapat memastikan tahap keupayaan vaksin sedia ada dalam membendung penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang sudah menjadi Variant of Concern (VOC).

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, varian baharu Covid-19, Omicron sudah menjadi Variant of Concern (VOC) atau varian yang membimbangkan dan KKM belum dapat memastikan tahap keberkesanan vaksin sedia ada termasuk ubat-ubatan dalam mengekang penularan varian baharu tersebut.

“Omicron juga sudah menjadi VOC dan kita masih belum memastikan sejauh mana keberkesanan vaksin sedia ada dalam menangkis varian ini. ia termasuk ubat yang diberikan dapat merawat varian ini.

“Varian Omicron ini dikatakan satu varian yang mungkin lebih bahaya kerana dikatakan mempunyai 32 mutasi protein berbanding sembilan oleh (varian) Delta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, pemberian dos penggalak ini penting dalam meningkatkan imuniti termasuk mengurangkan risiko jangkitan. Berdasarkan kajian banyak negara, imuniti seseorang individu akan mula berkurangan selepas enam bulan dan dengan dos penggalak, imuniti dapat dipertingkatkan.

“Oleh sebab itu, kerajaan sudah mula melaksana kawalan ketat dengan tidak membenarkan mereka dari negara tertentu seperti Afrika Selatan dan Hong Kong datang ke negara ini.

“Setakat kelmarin, Sarawak menjadi negeri yang menerima jumlah dos penggalak tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa KKM sedang berusaha dalam memberi perlindungan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Apabila kita benarkan pergerakan, kita dapat lihat kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dibawa ke Pulau Langkawi atau majlis kahwin sedangkan mereka tidak dilindungi (vaksin).

“Sebab itu kerajaan berusaha adakan vaksin kepada anak-anak berusia lima hingga 11 tahun ini,” katanya. – K! ONLINE.