Pak Wan Nafi Desak 3 Pemimpin Bersatu Undur Susulan Prestasi Hambar Di Melaka


PETALING JAYA - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Redzuan Yusof menafikan mesej tular di media sosial, kononnya beliau mendesak tiga pemimpin parti itu meletak jawatan berikutan prestasi hambar pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, kenyataan yang disebarkan itu kononnya dikeluarkan pihaknya bersifat fitnah dan berniat jahat kepada dirinya.

“Kenyataan berunsur fitnah itu adalah tanggungjawab pihak yang terdesak dan kecewa serta berniat jahat untuk memecah-belahkan kesatuan pimpinan Bersatu.

“Saya yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menafikan sekeras-kerasnya ada mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Berdasarkan kenyataan tular itu, Redzuan dikatakan mendesak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan Ketua Bersatu Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin meletak jawatan.

Kenyataan itu mendakwa, kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu adalah petunjuk strategi membalas dendam tidak diterima rakyat dan kempen parti itu gagal serta memalukan.

Pada PRN Melaka Sabtu lalu, PN bertanding di semua 28 kerusi dengan 15 adalah calon daripada Bersatu manakala lapan ditandingi PAS serta Gerakan yang meletakkan lima calon.

Bagaimanapun, hanya dua calon PN, iaitu Mohd Aleef Yusof dan Mohd Yadzil Yaakub, masing-masing calon di Sungai Udang dan Bemban memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Aleef memperoleh 6,789 undi, menewaskan Mohamad Ali Mohamad daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 6,259 undi, Hasmorni Tamby daripada Pakatan Harapan (PH) mendapat 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) memperoleh 471 undi.

Dengan majoriti 530, Aleef membuat kejutan menewaskan Mohamad Ali, iaitu Timbalan Ketua Umno Melaka yang juga Ketua Umno Tangga Batu.

Yadzil pula memperoleh 4,211 undi, menewaskan Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang wang deposit.

Selain itu, Mas Ermieyati yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri daripada PN gagal dalam percubaan merampas DUN Tanjung Bidara daripada Ab Rauf Yusoh (BN).

Mas Ermieyati memperoleh 3,195 undi manakala Ab Rauf mendapat 3,559 undi dan calon PH, Zainal Hassan mendapat 489 undi.

Sumber: FMT