PETALING JAYA - Akar umbi PAS diakui lebih memilih untuk bersama Muafakat Nasional (MN) dan usaha kerjasama dengan Umno yang diharap dapat terus diperkuatkan lagi menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Beliau berkata, Umno adalah sahabat PAS dalam MN dan walaupun akar umbi dilihat lebih kepada kerjasama MN, namun pada masa sama parti Islam itu tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) demi agenda penyatuan ummah.
Kata beliau, rundingan untuk menyatupadukan ketiga-tiga parti itu akan terus dilakukan.
“Kita akui akar umbi mahu MN dan kita harap pihak Umno mengukuhkan MN dalam pilihan raya akan datang. Apa yang lebih penting kerajaan negeri Melaka tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) meskipun PN juga kalah dalam PRN itu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Ketika ditanya mengenai strategi PAS memilih PN disifatkan gagal dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Hashim berkata, lebih penting adalah usaha parti itu bagi mempertahan penyatuan ummah.
Dalam PRN Melaka kelmarin, PAS tewas di semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, pintu persefahaman antara Umno dan PAS menerusi MN masih terbuka meskipun Barisan Nasional (BN) dilihat mampu bergerak bersendirian.
Katanya, kedudukan MN ketika ini adalah terserah kepada PAS.
Sumber: FMT