PAS Tembung GPS, PAS Sarawak Harap BERSATU "Berkecuali"


PETALING JAYA - PAS kekal dengan pendirian bertanding pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, namun berharap Bersatu bersikap berkecuali di kerusi di mana parti itu bertanding menentang Gabungan Rakyat Sarawak (GPS).

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, ketika dihubungi media menegaskan PAS akan bertanding seperti mana kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini.

“Itu hak Bersatu untuk membuat keputusan mereka untuk tidak bertanding, in sha’Allah PAS Sarawak akan teruskan niat untuk bertanding kali ini,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Bersatu berhasrat membantu GPS, PAS tidak mempunyai masalah.

“…mungkin kawasan PAS bertanding mereka boleh saja berkecuali,” katanya, lapor FMT.

Semalam, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, berkata Bersatu tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak pada 18 Dis.

Muhyiddin berkata, sebaliknya Bersatu akan membantu GPS menghadapi pilihanraya itu nanti.

Dalam laporan Harakah, kelmarin, Tuan Ibrahim berkata parti itu membuat keputusan bertanding pada PRN12 Sarawak dan akan memutuskan jumlah kerusi selepas berunding bersama PAS Sarawak.

Difahamkan, PAS Sarawak dijangka bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

Dalam pada itu, Jofri berkata, PAS akan membuat pengumuman rasmi berhubung jumlah kerusi sebenar yang akan ditandingi.

“Kita akan tunggu pengumuman rasmi dari PAS pusat dalam masa terdekat sebab kita ada mesyuarat bersama PAS pusat dalam hujung minggu ini,” katanya.