PAS tuduh UMNO Sentiasa Mahu Jadi "Abang Besar"


ALOR SETAR - Pemimpin PAS mengeluh sambil mendakwa sukar untuk bermuafakat bekerjasama dengan UMNO di dalam Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dalam keluhannya menuduh UMNO berlagak seperti "abang besar", sebaliknya memuji PAS yang dikatakan sangat terbuka.

“Kalau sentiasa jadi abang long susahlah, Pas sangat terbuka kerana objektif kita besar ke arah muafakat politik melibatkan seluruh parti berteraskan orang Melayu dan Islam sekali gus dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

Beberapa hari lalu, Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS menolak MN yang hanya melibatkan UMNO dan parti itu saja, serta menyifatkan gabungan seperti itu sebagai “terbelenggu”.

Katanya, PAS hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar.

Presiden PAS itu juga menyatakan PAS akan meneruskan komitmennya dengan Bersatu dakam gagasan politik Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan lebih besar berbanding MN. - Kedahneews.com