"PAS - UMNO, Biarlah Masa Yang Menentukan..." - Mahdzir Khalid


ALOR SETAR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengakui sukar menentukan sama ada UMNO dan Pas mampu bergandingan di bawah Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, ketika ini, tiada pihak mampu meramal apa yang bakal berlaku memandangkan dunia politik sentiasa tertakluk kepada seni dalam segala kemungkinan (art of possibility).

Dalam hal itu, katanya, tidak mustahil perkara yang dirasakan tidak akan terjadi, boleh menjadi kenyataan dan begitu juga sebaliknya.

“Kalau tengok kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sesetengah kepimpinan UMNO sendiri pun, nampaknya seolah-olah MN itu sudah tidak ada.

“Tetapi, seni kepada segala kemungkinan ini macam-macam boleh jadi dengan masa akan menentukan. Kalau tak ada (gandingan pada PRU-15), nak buat macam mana, tetapi, kalau ada gandingan itu, kita terimalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar Sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di Kuala Nerang di sini semalam.

Hubungan antara UMNO dan Pas dalam MN ketika ini menjadi tanda tanya banyak pihak memandangkan kedua-dua parti itu tidak bersama bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.  

Berikutan itu beberapa kepimpinan kedua-dua parti turut mengeluarkan kenyataan dengan ada antaranya yang mahu supaya kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, semua pihak perlu terbuka dalam menerima segala kemungkinan berhubung perkara itu pada masa akan datang.

“Dalam masa sama, kedua-dua pihak mungkin turut boleh merujuk mengenai pandangan dari luar parti mengenai kepimpinan masing-masing.  

“Setakat ini, tiada kata putus mengenai bagaimana kita akan berdepan PRU-15 dan seperti saya katakan tadi, biarlah masa menentukan segalanya,” katanya. -UTUSAN