Pemandu Mabuk "Drift" Rentas Sempadan Disambut Polis Singapura


PETALING JAYA - Seorang pemandu dipercayai mabuk sempat melakukan aksi “drift” sebelum beredar memasuki Singapura, dalam kejadian di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Tanjung Kupang, Johor.

Bagaimanapun, tindakan suspek berjaya dipatahkan polis Singapura dan kejadian itu tular di media sosial.

Klip video berdurasi 28 saat itu memaparkan suspek seperti dalam keadaan separa sedar, dipapah enam pegawai penguatkuasa, sambil diiringi sekurang-kurangnya lima pegawai lain.

Dalam kejadian pada 4 pagi semalam, lelaki warga tempatan berusia 47 tahun itu enggan memberikan kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan oleh pihak keselamatan di KSAB.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata polis cuba menahan suspek, namun dia melarikan diri menghala ke Singapura, melalui laluan lori keluar.

“Suspek kemudian ditahan polis Singapura selepas kejadian dan akan diserahkan kepada polis Malaysia sebaik sahaja proses dokumentasi selesai. Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Ayob berkata, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

“Selain itu, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (ceroboh) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu melulu dan membahaya),” katanya.

Sumber: FMT