ALOR SETAR - Pemimpin PKR Pahang, Fuziah Salleh dilaporkan berang terhadap Adun DAP negeri itu yang dikatakan tetap degil, enggan menarik balik kenyataannya yang menggesa Presiden PKR, Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Fuziah dalam tindakan menyelar Adun Bilut DAP, Lee Chin Chen, memberitahu bahawa pihaknya telah memberi notis 24 jam untuk Adun itu menarik balik kenyataan, tapi dia tetap enggan menurut.
"Kami memberi notis 24 jam untuk YB Bilut menarik balik kenyataannya. Tetapi dia enggan," kata Fuziah yang dipetik dari Malaysiakini.
Ekoran itu, Fuziah menyifatkan kenyataan Lee itu sebagai tidak beradab, angkuh, dangkal, dan tidak mencerminkan kedudukannya sebagai ketua pembangkang DUN Pahang.
“Pihak MPN PKR Pahang tidak berminat untuk menjawab kenyataan pramatang Adun Bilut tersebut kerana menonjolkan tahap pemikiran politik beliau yang kelihatan cetek dan tidak setara dengan kedudukan beliau sebagai ketua pembangkang di DUN Pahang.
“Ugutan beliau dengan menyarankan kepimpinan DAP untuk keluar dari PH sekiranya Anwar tidak melepaskan jawatan ketua pembangkang adalah satu tindakan tidak beradab dan langsung tidak menghormati rakan-rakan sekutu di dalam PH yang telah sepakat memilih ahli parlimen Port Dickson itu sebagai ketua pembangkang," katanya.
Fuziah tampil mempertahankan Presidennya setelah Ketua Pembangkang Dun Pahang dari DAP itu menyarankan agar Anwar meletak jawatan Ketua Pembangkang susulan prestasi buruk PH pada PRN Melaka, Sabtu lalu. - Kedahnews.com