Piala Dunia Remaja: Tewaskan Afrika Selatan, Skuad Hoki Negara Ke Suku Akhir


KUALA LUMPUR - Skuad hoki negara mengesahkan tempat di suku akhir Piala Dunia Remaja selepas menewaskan Afrika Selatan 4-3 di Bhubaneswar, India sebentar tadi.

Skuad negara terlebih dahulu berada di depan menerusi Muhammad Fahmi Khalid yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-29.

Afrika Selatan bagaimanapun menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti Guy Morgan pada minit ke-34, sebelum Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-41.

Perlawanan terus sengit apabila Afrika Selatan sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Jared Campbell pada minit ke-48.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul menyumbang gol ketiga Malaysia minit ke-49, sebelum Afrika Selatan bangkit menyamakan kedudukan buat kali ketiga menerusi gol Campbell pada minit ke-54.

Mohamad Akhimullah Anuar akhirnya mengesahkan kemenangan skuad kendalian Wallace Tan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara merampas kedudukan teratas Kumpulan A daripada Belgium selepas mengumpul tujuh mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

Kedudukan akhir dalam kumpulan sama ada skuad negara akan mara selaku juara atau naib juara hanya akan ditentukan selepas berakhir aksi antara, Belgium dan Chile yang berlangsung selepas ini.

Sekiranya Belgium yang juga naib juara 2016 berjaya meraih kemenangan, skuad negara akan bergelar naib juara dan akan berdepan juara Kumpulan B, Perancis yang menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat di suku akhir.

Sumber: BH Online