KUALA LUMPUR - Pengenalan Pas Keluarga Malaysia oleh Prasarana Malaysia Berhad diharap dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk beriadah dan mengunjungi lokasi tarikan di Lembah Klang.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pas tersebut membolehkan seramai empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga cuma RM15.
Beliau berkata, perjalanan melibatkan pengangkutan awam termasuk LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Massa) dan monorel kendalian Rapid KL dan BRT (Transit Aliran Bas).
“Ini bermakna setiap seorang dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan BRT di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.
“Inisiatif itu bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika melancarkan pas perjalanan itu.
Ismail berkata, kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan ketersambungan adalah penting bagi mobilasi Keluarga Malaysia.
“Pengangkutan awam juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting dalam menjayakan Keluarga Malaysia kerana selain menjadi alat penyatuan bangsa, ia juga menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana mulai Mac tahun depan yang dilaksanakan oleh anak syarikat Prasarana, iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) yang membolehkan peniaga berniaga di sekitar lapan stesen LRT Laluan Kelana Jaya.
Stesen tersebut adalah Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.
Sumber: Bernama